SKIM cepat kaya adalah satu jenayah sejagat yang sedang hidup subur dan tidak akan berakhir sampai bila-bila pun. Jenayah ini muncul dalam macam-macam bentuk dan teguh berakar umbi sejak sekian lama. Skim cepat kaya ini tidak jauh bezanya dengan beberapa penipuan atau scam lain yang berasal dari beberapa buah negara Afrika seperti African scam atau Love scam dan sedang berleluasa di negara ini.
Bank Negara mendefinisikan skim cepat kaya sebagai ‘satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.’
Kalau diimbas kembali sejarah skim cepat kaya di Malaysia ini rasanya sudah ada beratus-ratus skim penipuan seumpama itu dengan skim cepat kaya Pak Man Telo menduduki carta teratas sebagai paling popular pada tahun 90-an. Kewujudannya tidak ubah seperti pepatah Patah tumbuh, hilang berganti.’ Perubahan zaman dan teknologi menjadikan aktiviti mengutip deposit tanpa lesen semakin sofistikated dan disesuaikan dengan perkembangan ekonomi dunia.
Kalau dahulu, ‘bidang perniagaan’ skim ini kabur dan tidak jelas, sekarang dibuat berlandaskan pelbagai jenis perniagaan. Ladang cili, ternakan burung walet, ikan arowana, perniagaan mata wang asing, pembinaan lebuh raya, pembangunan bandar baharu, pajakan hotel dan terbaharu melibatkan perniagaan yang ada kena mengena dengan hartanah, ibadah haji dan umrah di tanah suci.
Penganjur dan ejen-ejen pengutip deposit juga bukan calang-calang orang. Mereka kelihatan ‘sungguh profesional, bijak, pandai berhujah, penuh ilmu agama di dada dan warak.’ Sekali pandang memang tidak ada rupa sedikitpun seperti seorang conman, penipu atau penjenayah. Mereka kelihatan seperti seorang pakar dalam bidang pelaburan yang dijalankan itu.
Skim ini sudah memperdayakan beribu-ribu pelabur dan kerugian pula mencecah puluhan juta ringgit. Pelabur mengalami kerugian besar. Walaupun sudah banyak kali pembongkaran dam tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa dan penganjur dihadapkan ke mahkamah serta dihukum, masih ramai yang tidak serik-serik.
Mangsa terus berharap dapat mencari untung besar dan kaya dalam sekelip mata walaupun realitinya ramai yang tertipu.
Peringatan oleh pihak berkuasa terutama daripada Bank Negara jarang dipedulikan bagi pelabur yang ingin mencari keuntungan dalam waktu yang singkat. Tarikan keuntungan luar biasa yang dijanjikan menjadikan mereka lupa kepada segala risiko yang tidak ubah seperti ‘bom jangka.’ Walaupun sudah banyak kali ‘meletup,’ masih ramai yang tidak berputus asa untuk terus mencuba nasib.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini ‘industri pelaburan’ tersebut mula memasuki ‘fasa’ baharu dengan kemunculan beberapa skim cepat kaya yang mendakwa ‘berlandaskan Islam atau islamik dan patuh syariah.’ Bagi menampakkan skim ini ‘patuh syariah’ penganjurnya, bidang pelaburannya, lokasi pelaburannya mestilah mempunyai ciri-ciri islamik.
Maka penganjurnya juga kenalah kelihatan seperti seorang ahli agama atau ustaz, bidang perniagaan pula yang ada kaitan dengan hartanah atau ‘umrah atau haji’ manakala lokasi pelaburan pula sudah tentu di negara-negara Islam di Asia Barat termasuk tanah suci Mekah dan Madinah.
Skim ini juga menjaja nama-nama orang kenamaan, tokoh atau personaliti agama yang hebat dan berpengaruh seperti pendakwah, agamawan, mufti dan menteri-menteri bagi meyakinkan pelabur. Sasarannya sudah tentu golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta mereka yang sudah boleh mengeluarkan caruman simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beberapa skim cepat kaya yang memiliki ciri-ciri sedemikian sebelum ini pernah diharamkan oleh pihak berkuasa dan Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi muncul kembali dengan menggunakan nama lain yang lebih ‘islamik.’
Seorang mangsa menceritakan pengalamannya dalam satu posting di media sosial bagaimana dia tertipu dengan skim ini. Dia yang baru mencecah usia 55 tahun hampir kehilangan separuh daripada ratusan ribu wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana terpedaya dengan skim tersebut yang antara lain turut menjanjikan ‘saham akhirat.’ Bukan dia sahaja, beberapa rakan lain yang baru menikmati wang persaraan turut berbuat demikian.
Dia terpengaruh dengan seorang rakan sepejabatnya yang merupakan ejen kepada skim ini. Pelaburan itu menjanjikan pulangan tidak kurang daripada 10 peratus sebulan, satu angka yang tidak mampu diberikan oleh mana-mana bank, institusi kewangan dan agensi-agensi pelaburan komersial di tanah air!.
Mangsa bersetuju ‘membeli’ lot-lot hartanah yang ditawarkan di tanah suci kerana mahu menggandakan wang simpanan, menghidupkan ekonomi umat Islam di samping ‘beramal’ mencari ‘saham akhirat.’ Ejen pelaburan menurut mangsa, bijak berkata-kata. Pujukan dibuat penuh hikmah disulami dengan ayat-ayat suci dan kata-kata sakti.
Dia terselamat apabila berubah fikiran pada saat-saat akhir dan hanya bersetuju membeli `beberapa lot sahaja’ (yang nilainya juga beribu-ribu ringgit). Tindakan ‘paksa rela’ itu dibuat bagi mengambil hati rakan sepejabatnya. Dia menyedari ditipu apabila pejabat agensi itu diserbu pihak berkuasa dan pelaburan tersebut diisytiharkan sebagai skim cepat kaya oleh Bank Negara.
Penipuan yang berselindung di sebalik nama agama bukan benda baharu. Pihak berkuasa perlu terus memantau dan membanteras skim-skim yang menggunakan nama agama dan istilah-istilah suci ini.
Kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bahawa pihaknya sudah menerima maklumat dan memantau pelaburan skim cepat kaya berlandaskan Islam amat dialu-alukan. Pihak berkuasa lain seperti Bank Negara juga perlu bertindak segera sebelum lebih ramai mangsa terjebak dengan jenayah skim cepat kaya `patuh syariah’ ini.
Utusan Malaysia 19 September 2016.
No comments:
Post a Comment