Risiko belajar di luar negara
SAUDARA PENGARANG,
16 September 2016 12:18 AM
RAMAI ibu bapa yang sangat mengimpikan anak mereka dapat belajar di universiti luar negara khususnya di negara Barat seperti Britain, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain.
Namun, ramai yang cuma memikirkan beban kewangan tanpa sedar risiko moral dan agama anak-anak apabila didedahkan kepada budaya dan gaya hidup masyarakat di luar negara.
Seperti juga apabila kita melepaskan anak-anak ke sekolah berasrama penuh ataupun tinggal di asrama universiti tempatan, mereka mula terdedah kepada pengaruh rakan sebaya terutama sekali jika berkawan dengan budak bermasalah.
Jika di asrama tempatan sudah begitu mudah dipengaruhi pelbagai anasir jahat, bayangkan pengaruh budaya luar ditambah tiadanya pemantauan orang tua mahupun pemeriksaan agensi agama Islam seperti di Malaysia.
Saya dahulu berpeluang mengikuti program ijazah sarjana muda di sebuah universiti di Britain tetapi bernasib baik kerana ketika itu ibu saya juga sedang mengikuti kursus ijazah doktor falsafah (PhD) dan bapa saya ikut sama menemani kami berdua.
Pemantauan ibu bapa melindungi saya daripada menyertai aktiviti tidak sihat seperti meminum arak, pergi ke kelab malam mahupun terlibat dengan pergaulan bebas yang semuanya menjadi amalan harian orang muda di Barat.
Saya perhatikan ramai dalam kalangan anak Malaysia yang belajar di universiti sama terjebak dengan salah satu atau semua gejala sosial orang Barat malahan ada beberapa pasangan kekasih Melayu yang bersekedudukan tanpa segan silu.
Walaupun Britain mempunyai komuniti Melayu yang ramai, mereka tidak dapat membendung anak muda kita daripada tewas kepada godaan nafsu khususnya jika pelajar tersebut tidak bergaul dengan komuniti Islam di sana.
Kita juga perlu mengambil iktibar sifat rasis sesetengah ‘orang putih’ terhadap orang Islam dan keturunan Asia seperti beberapa kes yang dilaporkan di Britain, Perancis, Australia dan beberapa negara lain.
Bukannya saya mahu menuduh semua pelajar yang ke luar negara akan terpengaruh dengan kejutan budaya dan fahaman masyarakat di sana mahupun diancam bahaya daripada komuniti tempatan tetapi cuma sebagai peringatan untuk ibu bapa menilai baik dan buruknya terlebih dahulu.
Peluang belajar di luar negara memang satu kelebihan besar dan ada juga kebaikannya tetapi pelajar perlu mempunyai ketahanan diri terhadap pelbagai tarikan dan pengaruh luar khususnya yang boleh merosakkan moral dan pegangan agama mereka.
Satu perkara saya perhatikan, hampir semua pelajar yang sudah berkeluarga atau berkahwin dahulu dan kemudian pergi bersama pasangan masing-masing lebih kuat bertahan daripada godaan dan pengaruh rakan sekelas di samping mampu menamatkan kursus mereka mengikut tempoh ditetapkan.
Dalam kalangan pelajar bujang ataupun pergi bersendirian pula, saya anggarkan lebih 50 peratus terpengaruh atau tergoda mencuba sekurang-kurangnya satu amalan buruk golongan muda di Barat disebabkan pengaruh rakan sebaya dan sifat ingin tahu mereka sendiri.
Sebagai ibu bapa yang lebih mengenali anak sendiri, nilaikan baik dan buruknya dahulu jika mahu melepaskan anak anda bersendirian ke negara orang.
Jika cukup yakin dan percaya anak anda mampu menjaga diri sendiri, teruskanlah tetapi jika agak berisiko tinggi, cuba cari jalan supaya sekurang-kurangnya anak anda tetap pulang ke tanah air, kekal dengan anutan agama kita dan tidak lupa asal usulnya.
DOKTOR TAK JADI
Gombak, Selangor
No comments:
Post a Comment