doa

Ya Allah berilah kekuatan dan kerajinan kepada kami untuk mencapai kejayaan.

Emel: smarompin@pahang.gov.my

Monday 26 September 2016

BAHASA ARAB PAGI ISNIN




Tuesday 20 September 2016

BAHASA ARAB PAGI




Monday 19 September 2016

RENUNGAN

Tragedi pemikiran Melayu.

Oleh: PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ

KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.

Itu pengaruh penjajah.

Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.

Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.

Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.

Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.

Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.

Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan.

Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.

Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.

Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British.

Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.

Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita.

Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.

Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.

Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.

Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.

Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

* PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.

SUMMER CAMP TELUK SARI



Sunday 18 September 2016

HATI-HATI

SKIM cepat kaya adalah satu jenayah sejagat yang sedang hidup subur dan tidak akan berakhir sampai bila-bila pun. Jenayah ini muncul dalam macam-macam bentuk dan teguh ber­akar umbi sejak sekian lama. Skim ­cepat kaya ini tidak jauh bezanya dengan beberapa penipuan atau scam lain yang berasal dari beberapa buah negara Afrika seperti African scam atau Love scam dan sedang berleluasa di negara ini.

Bank Negara mendefinisikan skim cepat kaya sebagai ‘satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak ­realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.’

Kalau diimbas kembali sejarah skim cepat kaya di Malaysia ini rasanya sudah ada beratus-ratus skim penipuan seumpama itu dengan skim cepat kaya Pak Man Telo menduduki carta teratas sebagai paling popular pada tahun 90-an. Kewujudannya tidak ubah seperti pepatah Patah tumbuh, hilang berganti.’ Perubahan ­zaman dan teknologi menjadikan aktiviti mengutip deposit tanpa lesen semakin sofistikated dan disesuaikan dengan perkembangan ekonomi dunia.

Kalau dahulu, ‘bidang perniagaan’ skim ini kabur dan tidak jelas, sekarang dibuat berlandaskan pelbagai jenis perniagaan. Ladang cili, ternakan burung walet, ikan arowana, perniagaan mata wang asing, pembinaan lebuh raya, pembangunan bandar baharu, pajakan hotel dan terbaharu me­libatkan perniagaan yang ada kena mengena dengan hartanah, ibadah haji dan umrah di tanah suci.

Penganjur dan ejen-ejen pengutip deposit juga bukan calang-calang orang. Mereka kelihatan ‘sungguh profesional, bijak, pandai berhujah, penuh ilmu agama di dada dan warak.’ Sekali pandang memang tidak ada rupa sedikitpun seperti seorang conman, penipu atau penjenayah. Mereka kelihatan seperti seorang pakar dalam bidang pelaburan yang dijalankan itu.

Skim ini sudah memperdayakan beribu-ribu pelabur dan kerugian pula mencecah puluhan juta ringgit. Pelabur mengalami kerugian besar. Walaupun sudah banyak kali pembongkaran dam tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa dan penganjur dihadapkan ke mahkamah serta dihukum, masih ramai yang tidak serik-serik.

Mangsa terus berharap dapat mencari untung besar dan kaya dalam sekelip mata walaupun realitinya ramai yang tertipu.

Peringatan oleh pihak berkuasa terutama daripada Bank Negara jarang dipedulikan bagi pelabur yang ingin mencari keuntungan dalam waktu yang singkat. Tarikan keuntungan luar biasa yang dijanjikan menjadikan mereka lupa kepada segala risiko yang tidak ubah seperti ‘bom jangka.’ Walaupun sudah banyak kali ‘meletup,’ masih ramai yang tidak berputus asa untuk terus mencuba nasib.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini ‘industri pelaburan’ tersebut mula memasuki ‘fasa’ baharu dengan kemunculan beberapa skim cepat kaya yang mendakwa ‘berlandaskan Islam atau islamik dan patuh syariah.’ Bagi menampakkan skim ini ‘patuh syariah’ penganjurnya, bidang pelaburannya, lokasi pelaburannya mestilah mempunyai ciri-ciri islamik.

Maka penganjurnya juga kenalah kelihatan seperti seorang ahli agama atau ustaz, bidang perniagaan pula yang ada kaitan dengan hartanah atau ‘umrah atau haji’ manakala lokasi pelaburan pula sudah tentu di negara-negara Islam di Asia Barat termasuk tanah suci Mekah dan Madinah.

Skim ini juga menjaja nama-nama orang kenamaan, tokoh atau personaliti agama yang hebat dan berpengaruh seperti pendakwah, agamawan, mufti dan menteri-menteri bagi meyakinkan pelabur. Sasarannya sudah tentu golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta mereka yang sudah boleh mengeluarkan caruman simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beberapa skim cepat kaya yang memiliki ciri-ciri sedemikian sebelum ini pernah diharamkan oleh pihak berkuasa dan Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi muncul kembali dengan menggunakan nama lain yang lebih ‘islamik.’

Seorang mangsa menceritakan pengalamannya dalam satu ­posting di media sosial bagaimana dia tertipu dengan skim ini. Dia yang baru mencecah usia 55 tahun hampir kehilangan separuh daripada ratusan ribu wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana terpedaya dengan skim tersebut yang antara lain turut menjanjikan ‘saham akhirat.’ Bukan dia sahaja, beberapa rakan lain yang baru menikmati wang persaraan turut berbuat demikian.

Dia terpengaruh dengan seorang rakan sepejabatnya yang merupakan ejen kepada skim ini. Pelaburan itu menjanjikan pulangan tidak kurang daripada 10 peratus sebulan, satu angka yang tidak mampu diberikan oleh mana-mana bank, institusi kewangan dan agensi-agensi pelaburan komersial di tanah air!.

Mangsa bersetuju ‘membeli’ lot-lot hartanah yang ditawarkan di tanah suci kerana mahu menggandakan wang simpanan, menghidupkan ekonomi umat Islam di samping ‘beramal’ mencari ‘saham akhirat.’ Ejen pelaburan menurut mangsa, bijak berkata-kata. Pujukan dibuat penuh hikmah disulami dengan ayat-ayat suci dan kata-kata sakti.

Dia terselamat apabila berubah fikiran pada saat-saat akhir dan hanya bersetuju membeli `beberapa lot sahaja’ (yang nilainya juga beribu-ribu ringgit). Tindakan ‘paksa rela’ itu dibuat bagi mengambil hati rakan sepejabatnya. Dia menyedari ditipu apabila pejabat agensi itu diserbu pihak berkuasa dan pelaburan tersebut diisytiharkan sebagai skim cepat kaya oleh Bank Negara.

Penipuan yang berselindung di sebalik nama agama bukan benda baharu. Pihak berkuasa perlu ­terus memantau dan membanteras skim-skim yang menggunakan nama agama dan istilah-istilah suci ini.

Kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bahawa pihaknya sudah menerima maklumat dan memantau pelaburan skim cepat kaya berlandaskan Islam amat dialu-alukan. Pihak berkuasa lain seperti Bank Negara juga perlu bertindak segera sebelum lebih ramai mangsa terjebak dengan jenayah skim cepat kaya `patuh syariah’ ini.

Utusan Malaysia 19 September 2016.

Saturday 17 September 2016

BELAJAR LUAR NEGARA

Risiko belajar di luar negara

SAUDARA PENGARANG,
16 September 2016 12:18 AM

RAMAI ibu bapa yang sangat mengimpikan anak mereka dapat ­belajar di universiti luar negara khususnya di negara Barat seperti Britain, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain.

Namun, ramai yang cuma memikirkan beban kewangan tanpa sedar risiko moral dan agama anak-anak apabila didedahkan kepada budaya dan gaya hidup masyarakat di luar negara.

Seperti juga apabila kita melepaskan anak-anak ke sekolah berasrama penuh ataupun tinggal di asrama universiti tempatan, mereka mula terdedah kepada pengaruh rakan sebaya terutama sekali jika berkawan dengan budak bermasalah.

Jika di asrama tempatan sudah begitu mudah dipengaruhi pelbagai anasir jahat, bayangkan pengaruh budaya luar ditambah tiadanya pemantauan orang tua mahupun pemeriksaan agensi agama Islam seperti di Malaysia.

Saya dahulu berpeluang mengikuti program ijazah sarjana muda di sebuah universiti di Britain tetapi bernasib baik kerana ketika itu ibu saya juga sedang mengikuti kursus ijazah doktor falsafah (PhD) dan bapa saya ikut sama menemani kami berdua.

Pemantauan ibu bapa melindungi saya daripada menyertai aktiviti tidak sihat seperti meminum arak, pergi ke kelab malam mahupun terlibat dengan pergaulan bebas yang semuanya menjadi amalan harian orang muda di Barat.

Saya perhatikan ramai dalam kalangan anak Malaysia yang belajar di universiti sama terjebak dengan salah satu atau semua gejala sosial orang Barat malahan ada beberapa pasangan kekasih Melayu yang bersekedudukan tanpa segan silu.

Walaupun Britain mempunyai komuniti Melayu yang ramai, mereka tidak dapat membendung anak muda kita daripada tewas kepada godaan nafsu khususnya jika pelajar tersebut tidak bergaul dengan komuniti Islam di sana.

Kita juga perlu mengambil iktibar sifat rasis sesetengah ‘orang putih’ terhadap orang Islam dan keturunan Asia seperti beberapa kes yang dilaporkan di Britain, Perancis, Australia dan beberapa negara lain.

Bukannya saya mahu menuduh semua pelajar yang ke luar negara akan terpengaruh dengan kejutan budaya dan fahaman masyarakat di sana mahupun diancam bahaya daripada komuniti tempatan tetapi cuma sebagai peringatan untuk ibu bapa menilai baik dan buruknya terlebih dahulu.

Peluang belajar di luar negara memang satu kelebihan besar dan ada juga kebaikannya tetapi pelajar perlu mempunyai ketahanan diri terhadap pelbagai tarikan dan pengaruh luar khususnya yang boleh merosakkan moral dan pegangan agama mereka.

Satu perkara saya perhatikan, hampir semua pelajar yang sudah berkeluarga atau berkahwin dahulu dan kemudian pergi bersama pasangan masing-masing lebih kuat bertahan daripada godaan dan pengaruh rakan sekelas di samping mampu menamatkan kursus mereka mengikut tempoh ditetapkan.

Dalam kalangan pelajar bujang ataupun pergi bersendirian pula, saya anggarkan lebih 50 peratus terpengaruh atau tergoda mencuba sekurang-kurangnya satu amalan buruk golongan muda di Barat disebabkan pengaruh rakan sebaya dan sifat ingin tahu mereka sendiri.

Sebagai ibu bapa yang lebih mengenali anak sendiri, nilaikan baik dan buruknya dahulu jika mahu melepaskan anak anda bersendirian ke negara orang.

Jika cukup yakin dan percaya anak anda mampu menjaga diri sendiri, teruskanlah tetapi jika agak berisiko tinggi, cuba cari jalan supaya sekurang-kurangnya anak anda tetap pulang ke tanah air, kekal dengan anutan agama kita dan tidak lupa asal usulnya.

DOKTOR TAK JADI

Gombak, Selangor


Friday 16 September 2016

YOUTH SUMMER CAMP TELUK SARI

Rombongan bertolak ke Teluk Sari, Penyabung hari ini Jumaat 16 September 2016 jam 3.00 petang dengan dua buah bas Syarikat Rahmat Alam.

Tuesday 13 September 2016

BULI

Katakan tidak kepada buli!

13 September 2016 6:07 PM

SAUDARA PENGARANG,

SABAN tahun pasti ada sahaja kes buli membabitkan pelajar sekolah. Terbaharu kes buli di Kota Kinabalu, Sabah menyaksikan seorang murid lelaki ditumbuk bertubi-tubi, ditendang, ditampar, dipijak dan dihentak dengan kerusi plastik.

Sebelum itu, empat kes buli juga telah mendapat perhatian negara tahun ini. Dimulai pada Mac lalu, murid tahun dua, Muhammad Ali Shukran ALias dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, Klang mendakwa dipaksa rakan untuk menggunting lidah sendiri. Kes kedua pada April lalu menyaksikan pelajar sekolah di Pengkalan Chepa, Kelantan, Aiman Hazim Zulkeflee, 15, retak di bahagian leher akibat dibelasah seorang pelajar lain yang dipercayai membulinya.

Bulan lepas sahaja, kes buli melibatkan seorang pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak mengadu dibuli oleh lima pelajar senior di asrama maktab berkenaan, manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani, Kedah, Muhammad Anas Amir, 14, mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipercayai dipukul dan dihentak kepada ke dinding oleh beberapa pelajar tingkatan tiga.

Sekadar mahu berseronok! Itu antara faktor yang mendorong perbuatan buli selain si pembuli mahupun mangsa pernah menjadi mangsa buli sebelum ini. Faktor lain adalah kurang mendapat perhatian ibu bapa, dan akibatnya anak-anak memberontak dan melakukan pelbagai gejala yang tidak sihat bagi mengisi kekosongan dalam hati mereka.

Gejala buli di sekolah jika dibiar berterusan akan mengundang pelbagai impak buruk dan berkemungkinan besar akan melahirkan individu penjenayah dan agresif apabila dewasa seperti perompak, perogol atau pendera. Pihak bertanggungjawab seharusnya memainkan peranan mereka dengan lebih serius untuk membendung gejala itu daripada terus menular dalam kalangan anak-anak yang bergelar murid atau pelajar sekolah. Pada hemat saya, pihak sekolah seharusnya menetapkan peraturan berkaitan gejala buli dengan lebih jelas dan terperinci di samping mendapatkan maklumat mengenai kes-kes buli yang sering berlaku di sekolah. Selain itu, penggunaan kamera litar tertutup di kawasan sekolah secara tidak langsung dapat mengekang gejala buli. Pihak sekolah juga digalakkan menubuhkan satu jawatankuasa antibuli di peringkat sekolah untuk membendung masalah ini.

MUHAMMAD WAQIYUDDIN SALLEH Nilai, Negeri Sembilan - Utusan Malaysia.

Friday 9 September 2016

BAHASA ARAB PAGI